21/03/2012

Amalan Positif Pelajar Cemerlang

Setiap guru mengharapkan agar anak didik mereka berkeperibadian mulia serta cemerlang dalam pelajaran mereka. Begitu juga dengan ibu bapa yang mengharapkan cahaya mata mereka untuk menjadi anak yang soleh, taat, cerdik serta pintar dan aktif ketika mereka sedang melalui zaman persekolahan masing-masing. Namun tidak semua pelajar mampu mengekalkan keupayaan untuk sentiasa menerapkan amalan positif dalam diri mereka. Dalam menerapkan sifat positif di dalam jiwa pelajar, amalan berfikir secara positif dan menolak pemikiran negatif perlulah dilakukan setiap hari untuk menyingkirkan virus berbahaya yang wujud dalam pemikiran pelajar dewasa ini.

Perasaan cintakan bangku persekolahan dan keseronokan ketika proses pembelajaran berlaku amat membantu dalam usaha memupuk amalan positif di kalangan mereka. Secara logiknya, usaha ini amat sukar dilakukan namun melalui latihan dan kebiasaan, secara perlahan-lahan, sikap negatif mereka akan dapat dikikis, bak kata pepatah orang tua-tua, ‘kalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya”.

Datang awal ke sekolah, menyapu dan membersihkan kawasan sekolah, mengelap tingkap, dan memastikan meja dan bangku di dalam kelas berada dalam keadaan yang tersusun merupakan antara amalan positif yang perlu dipupuk oleh pelajar sebagai amalan setiap hari. Amalan ini perlu diterap untuk memupuk rasa tanggungjawab pelajar terhadap harta benda sekolah, dan secara tidak langsung akan melatih pelajar untuk menyayangi harta mereka sendiri juga.

Ketika guru sedang mengajar, tumpuan haruslah diberikan seratus peratus terhadap matapelajaran yang diajar. Selain itu, kerja rumah yang diberikan oleh guru sepatutnya disiapkan sebelum tempoh yang ditetapkan. Di samping itu, latih tubi yang berterusan juga mampu menguatkan daya ingatan pelajar terhadap pelajaran yang diajar.

Waktu menanti aktiviti kokurikulum tidak harus dibazirkan dengan membuat aktiviti yang tidak berfaedah seperti melepak di luar kawasan sekolah, merokok dan bermain. Masa terluang yang ada sebaik-baiknya dimanfaatkan dengan membaca buku atau mengulangkaji di perpustakaan. Bak kata pepatah, membaca jambatan ilmu. Kebiasaan membaca akan banyak membantu pelajar untuk mendapatkan ilmu yang diperlukan untuk bekalan di masa hadapan.

Pelajar tiang negara. Itu adalah kata-kata keramat yang sering kita dengar. Oleh itu, amalan positif di kalangan pelajar haruslah dipupuk bagi memastikan negara kita menjadi sebuah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang di masa hadapan.

(Amirah Batrisyia)

No comments:

Post a Comment