05/05/2012

Cadangan-cadangan bagi mengatasi jenayah ragut


            Kemalangan ngeri yang menimpa sepasang suami isteri yang sedang menaiki motosikal menyebabkan orang ramai mula celik mata tentang betapa seriusnya jenayah ragut di negara kita. Si suami meninggal dunia manakala si isteri pula cedera parah akibat jenayah ragut yang dilakukan oleh penunggang motosikal. Orang ramai mula mendesak pihak kerajaan agar mengambil tindakan drastik bagi menangani perkara ini. Pelbagai cadangan telah diutarakan bagi mengelakkan lebih banyak orang menjadi mangsa ragut.
            Salah satu cadangan yang diutarakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi mencegah jenayah ragut ialah menyediakan lebih banyak jejambat untuk pejalan kaki. Sering kali pejalan kaki menjadi mangsa peragut yang menaiki motosikal. Dengan adanya lebih banyak jejambat, keselamatan pejalan kaki akan lebih terjamin.
            Anggota masyarakat, terutamanya wanita juga perlu menjaga keselamatan diri dengan tidak membawa beg tangan yang disangkut di bahu. Kecuaian pejalan kaki yang mendedahkan beg tangan mereka sering kali membuka ruang kepada peragut menjalankan aktiviti durjana mereka. Sikap cegah sebelum parah harus diamalkan bagi menghalang jenayah ragut darirpada terus berleluasa.
            Selain itu, pihak berkuasa juga boleh melarang penunggang motosikal menggunakan jalan yang juga digunakan oleh pejalan kaki. Jalan khas bagi motosikal perlu banyak dibina agar peluang untuk peragut bermotosikal untuk meneruskan kegiatan ini dapat diminimunkan. Pejalan kaki juga dapat meneruskan kehidupan mereka dengan lebih selesa.
            Intihanya, dalam usaha untuk mencapai jenayah ragut sifar, masyarakat tidak boleh meletakkan harapan penuh kepada pihak berkuasa untuk melaksanakan langkah-langkah pencegahan. Kita selaku masyarakat yang bertanggungjawab perlu proaktif bak kata pepatah mencegah lebih baik daripada mengubati agar kes-kes ragut ini semakin pudar dalam roda kehidupan masyarakat hari ini.                                                   
                                                                                                                                                    (HANI)

No comments:

Post a Comment