05/05/2012

Cara yang baik untuk mengatasi masalah kekurangan air.

Kebelakangan ini, masalah bekalan air yang berlaku di beberapa kawasan di negara kita serius diperkatakan. Tidak dapat dinafikan terdapat beberapa faktor yang memungkinkan berlakunya krisis air seperti perubahan keadaan cuaca dunia seperti “El-Nino”. Walau apa pun puncanya, kita perlu mengambil langkah berjaga-jaga bermula dari sekarang untuk mengelakkan musibah ini melanda kita.
            Mengekalkan kawasan tadahan hujan merupakan cara utama mengelakkan krisis bekalan air di negara kita. Penebangan kawasan hutan mestilah dielakkan lebih kurang 10 kilometer dari kawasan tadahan hujan. Perkara ini penting bagi menjaga kawasan tadahan air daripada musnah. Kawasan ini penting bagi membekalkan air bersih kepada kawasan empangan sebelum disalurkan ke rumah kediaman dan premis.
            Sehubungan itu, pencemaran sungai perlu ditangani segera. Pembangunan tanpa perancangan yang teliti turut mencemarkan sungai yang berdekatan. Begitu juga dengan pembuangan sampah yang dilakukan oleh masyarakat yang tidak prihatin tentang kebersihan. Kesannya, kita akan kekurangan bekalan air bersih bagi kegunaan domestik.
            Kerajaan perlu mengadakan catuan air ke kawasan-kawasan tertentu sebagai langkah berjaga-jaga. Catuan air boleh dilaksanakan berdasarkan bilangan jam dalam sehari mengikut kawasan tertentu. Tindakan ini perlu bagi mengelakkan pembaziran air selain menyedarkan masyarakat agar menghargai kepentingan air.
            Seterusnya, sikap berjimat-cermat perlu wujud dalam diri setiap individu bagi mengelakkan krisis air daripada berlaku. Masyarakat yang leka dengan nikmat Tuhan ini mungkin tidak menyangka bahawa suatu hari nanti kita akan mengalami musibah ini. Oleh hal yang demikian, sikap berjimat-cermat patut dipupuk sejak kecil lagi.
            Kesimpulannya, manusialah yang bertanggungjawab untuk menguruskan penggunaannya dengan baik. Semua pihak, terutama masyarakat perlu menyahut seruan kerajaan agar menjimatkan penggunaan air. Sikap menuding jari kepada orang lain tidak akan membawa apa-apa manfaat. Harapan negara kita untuk terus membekalkan bekalan air bersih kepada rakyat memerlukan sokongan semua pihak.
                                                                                                                      (HANI)

No comments:

Post a Comment